Sumbangan Almarhum Dato’ Dr Haron Din

Siapa yang tak kenal Almarhum Ustaz Haron Din memang pelik. Mungkin bagi generasi muda mudi sekarang tak tahu tentang sejarah Ustaz Haron Din, tetapi bagi mereka yang lahir pada era-90an, inilah nama lagenda yang sentiasa akan dikenang.

Pendek cerita, Ustaz Haron Din merupakan seorang tokoh Perubatan Alternatif atau Perubatan Islam yang sangat dikagumi di Malaysia. Beliau merupakan Pengasas kepada Darussyifa’ dan Persatuan Perubatan, Pengubatan & Kebajikan Islam Malaysia (rujuk sini : http://www.darussyifa.org/?p=355).

Penulis juga suka untuk berkongsi salah satu cerita Ustaz Haron Din yang terkenal iaitu mengangkut Jin yang menganggu dengan menggunakan bas. Versi cerita seram ini pernah penulis dengar daripada beberapa orang kawan di berlainan IPT. Antaranya mengangkut Jin yang menganggu warga UKM, Bangi dengan menggunakan bas untuk dibawa keluar dan versi cerita yang sama tetapi di Ipta UUM.

Namun, pihak Darussyifa sendiri telah menidakkan cerita ini.

Sejarah Ringkas

Nama sebenar Ustaz Haron Din adalah Haron Bin Din (Tuan Guru Dato; Dr.) iaitu anak kepada Lebai Din, seorang pengamal perubatan Islam. Ustaz telah dilahirkan pada 18 Ogos 1940 di Bohor Mali, Perlis. Beliau juga telah berkahwin serta dianugerahkan dengan dua anak lelaki dan tiga anak perempuan. Sebenarnya, adik beradik lelaki anak lelaki Lebai Din adalah sangat terkenal di Malaysia. Mereka adalah ulama tiga beradik yang dikenali sebagai Ishak Din (https://ms.wikipedia.org/wiki/Ishak_Din), Hassan Din (https://ms.wikipedia.org/wiki/Abu_Hassan_Din_Al-Hafiz)  dan Haron Din. Mereka juga adalah ulama’ tulang belakang kepada pergerakan Parti Islam Se-Malaysia.

Latar Belakang Pengajian (sumber: darussyifa.org)

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.

Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

Sumbangan Beliau Sebagai Permata Ummah

Ustaz Haron Din merupakan murabbi kepada ummah terutamanya dalam ilmu perubatan Ruqyah Syari’yyah. Pengaruh beliau sangat luas di dalam negara dan juga antarabangsa. beliau juga telah menjadi rujukan bagi ilmu pengubatan Islam serta rawatan Melayu tradisional patuh syariah.

Antara sumbangan beliau yang dapat penulis senaraikan dalam bahasa mudah adalah seperti berikut:

  1. Menubuhkan Darussyifa’ dan Persatuan Perubatan, Pengubatan & Kebajikan Islam Malaysia
  2. Menubuhkan pusat perubatan Darussyifa (berpusat di Bangi).
  3. Melancarkan Yayasan Darussyifa’ dengan tujuan kebajikan Islam.
  4. Ahli Majlis Penasihat Syariah CIMB, Bank Negara dan juga Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
  5. Ahli Politik Islam Se-Malaysia.
  6. Almarhum juga menyumbang dalam bentuk penulisan dengan menghasilkan buku-buku berkaitan pengajian islam, perubatan islam dan permasalahan fiqh.

Antara kata mutiara dari Almarhum adalah,

“Selagi ada orang perlukan khidmat kita, buatlah dan tunaikanlah”.

KONGSI ARTIKEL INI