Sihir di alam melayu telah lama bertapak dan digunakan dalam aktiviti harian terutamanya apabila wujud hasad dengki dalam masyarakat. Tiada siapa tahu sudah berapa lama sihir ini bertapak di negara kita, namun di dalam Islam, sihir telah diturunkan sebelum zaman Babylon lagi.
Ibnu Khaldun dalam buku Muqaddimah menjelaskan sihir adalah seperti berikut; satu ilmu tentang persediaan jiwa manusia untuk mempengaruhi alam kebendaan sama ada tanpa bantuan atau dengan bantuan dari langit. Yang pertama adalah sihir dan yang kedua adalah tilik. Oleh kerana ilmu-ilmu ini ditolak di sisi syariat kerana berbahaya, dan kerana di antara syarat-syaratnya ialah berpaling daripada Allah, maka kitab-kitab tentangnya telah lenyap di kalangan manusia kecuali yang terdapat di dalam kitab-kitab bangsa-bangsa purba termasuk yang wujud sebelum Nabi Musa AS seperti bangsa Qibti dan Kaldani.

PENGHARAMAN SIHIR
Islam telah menyatakan dengan jelas melalui Rasulullah SAW bahawa hukumnya adalah haram dan berdosa besar. Rasulullah SAW menyebut sihir sebagai salah satu daripada perbuatan dosa besar. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
Maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.” Riwayat al-Bukhari (2766).

Ulama bersepakat bahawa mempelajari sihir, mengajar serta mempraktikkannya adalah haram. Ibn Qudamah berkata: “Sesungguhnya mempelajari sihir dan mengajarkannya adalah haram. Tidak ada khilaf padanya dalam kalangan ahli ilmu.” (Lihat al-Mughni, 8/151).
HUKUM BERTEMU AHLI SIHIR
Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fatawa al-Mu’asirah berkata: Diharamkan untuk pergi kepada tukang sihir sama ada untuk melakukan sihir atau pengubatan sihir. Maka semua itu sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabawi ianya adalah salah satu jenis daripada syirik kepada Allah SWT kerana ia berkaitan antara keyakinan dengan mengetahui yang ghaib atau pengubatan penyakit melalui perantaraan selain Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, hlm. 319)

Barangsiapa yang pergi kepada tukang sihir dan tidak mempercayainya, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam. Riwayat Muslim (5957)
Mungkin kita ingat bahawa sihir tidak dapat terkena kepada orang yang baik (beriman), tetapi mereka jugalah antara golongan yang menjadi sasaran penyihir. Bahkan kisah Nabi Muhammad S.A.W disihir juga sangat masyhur dalam sejarah Islam.
Sihir menjadi salah satu sebab perpecahan dalam masyarakat serta institusi kekeluargaan menjadi porak-peranda. Dalam Quran terdapat kisah dua malaikat Harut dan Marut (Surah Al-Baqarah, ayat 102), yang turun untuk menentang tukang-tukang sihir yang jahat pada zaman tersebut. Antara sihir yang diajar oleh Harut dan Marut kepada manusia adalah sihir yang boleh memisahkan antara suami dan isteri. Tujuan kedua-dua malaikat ini adalah untuk menunjukkan betapa sihir itu menuju ke jalan kekufuran. Sihir memisahkan suami dan isteri telah diajarkan di negeri Babil sebagaimana terdapat dalam beberapa mentera lama yang tertulis dalam bahasa Sumari, iaitu bahasa kuno yang wujud beberapa abad sebelum masihi.
Dalam negara kita, permainan sihir ini tidak ditunjukkan secara terang-terangan tetapi kesannya dapat dilihat berlaku di setiap peringkat masyarakat (individu, keluarga termasuk ahli politik). Keadaan ini berbeza dengan negara Indonesia terutamanya Kalimantan dimana promosi servis sihir di iklankan secara terang-terangan.
ARTIS YANG TERKENA SIHIR
Antara individu yang terkenal di Malaysia yang viral kerana terkena ilmu sihir adalah seperti Andi Bernadee. Menerusi video yang dimuat naik, Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile menunjukkan dua paku karat dalam mangkuk berisi kuning telur yang ditarik daripada bahagian tekaknya. Selain itu, katak kering juga ditemui di atas bumbung kediamannya. Kesannya menyebabkan Andi susah untuk melelapkan mata. Mata rasa nak tutup, tetapi tidak dapat tidur. Andi berjaga sepanjang malam dan hanya tidur pada sebelah pagi. Kesan lain adalah selera makan bertambah sehingga perut menjadi buncit.
Manakala Aisyah Jannah pula menghadapi masalah darah haid keluar tanpa henti selama dua bulan, Aisyah juga mengalami sakit pinggang serta belakang badan terasa lebam dan kesannya seperti dicubit. Dia tidak menyangka apa yang berlaku ke atasnya itu rupa-rupanya petanda bahawa dia terkena buatan orang. Lebih menyedihkan, Aisyah merasakan ketidakselesaan setiap kali mengenakan tudung terlalu lama selain kepalanya menjadi sakit setiap kali keluar rumah sehingga terasa hendak termuntah. Walau bagaimanapun kata Aisyah, dia menyedari masalah itu mula menimpanya sebelum dia berkahwin dengan Mohd Hazalif, 25, pada 2017. Selepas berkahwin, perasaan mudah marah pada suaminya pula muncul.

Dapat dilihat bahawa perbuatan sihir sememangnya memberikan kesan buruk kepada orang yang disihir. Malah, kesan sihir juga berpanjangan dan mampu menyiksa mangsa yang disihir dalam tempoh yang sangat lama.
SENARAI ILMU HITAM
Ilmu hitam yang dapat diamalkan masyarakat Melayu terbahagi kepada beberapa bahagian seperti berikut:
- Melindungi diri
- Kebal
- Perubatan
- Mendapatkan kelebihan
- Kesaktian
- Pengasih – Sejenis ilmu hitam yang dapat membangkitkan rasa kasih seseorang terhadap seseorang
- Perapun
- Gagah
- Perangsang
- Penderas
- Pukau
- Mengawal/Memusnahkan musuh
- Penunduk: Digunakan untuk menundukkan orang lain seperti nasi tangas untuk menundukkan suami
- Tuju – Jampi-jampi yang membuatkan orang rasa sakit. Juga menggunakan alatan lain seperti telur layang (telur yang telah dijampi) untuk menyakiti orang dan boleh membawa maut.
- Pelalau — sihir untuk mencerai-beraikan suami isteri
- Pelalai
- Cuca – Jampi yang boleh menundukkan musuh atau yang dapat mengubati luka
- Meramal masa hadapan
- Alimun
Sihir yang diamalkan boleh dikelaskan menurut beberapa kelompok seperti berikut:-
- Saka – Menggunakan jin/shaitan – kadam, toyol, datuk, suruhan, roh orang mati, hantu dll
- Azimat
- Menggunakan mentera, jampi, serapah – ayat-ayat tertentu.
Mereka yang merawat sihir biasanya melalui beberapa kaedah atau cara:-
- Menggunakan ayat-ayat suci
- Menggunakan kuasa dalaman atau tenaga batin
- Menggunakan bantuan makhluk halus lain


