Kehilangan paling berat bilamana setiap seorang daripada ulama’ pergi meninggalkan dunia. Bayangkan satu persatu permata dunia hilang. Siapa lagi yang kita ingin harapkan untuk membentuk manusia hidup dalam mengamalkan Islam sepenuhnya.
Semakin lama semakin banyak hari yang kita dengar tentang kematian. Hari ini mungkin orang lain, tetapi boleh jadi esok adalah hari kita. Antara murabbi ummah yang membuatkan ramai terkesan dengan pemergian mereka adalah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Dato’ Dr Haji Haron Din, Tok Kenali, Tuan Guru Dato’ Ustaz Ismail Kamus dan ramai lagi ulama’ yang disegani.

Daripada Abdillah bin Amru bin Al-As radhiyallahu anhuma: Aku dengar Nabi bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan. ”Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Pemergian pewaris Nabi menjadi tanda bahawa kita kini berada di dunia akhir zaman. Mereka memainkan peranan besar untuk membimbing pembangunan masyarakat supaya selari dengan kehendak agama Islam. Seandainya pada hari ini kita merasa sedih dan berat dengan kehilangan ulama’. Biar lah orang lain merasakan perkara yang sama apabila kita meninggal kelak dengan asbab daripada kebaikan yang kita lakukan.
Sama-samalah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan buat semua murabbi ummah yang masih ada dan sedekahkan Al-Fatihah bagi yang sudah meninggal dunia.


