Tanggal 14 Februari adalah hari yang sudah sinonim di seluruh dunia yang dikaitkan dengan Hari Kekasih.
Hari Kekasih bertujuan untuk berkasih sayang dengan memberikan penghargaan kepada pasangan atau melakukan aktiviti bersama kerana hari tersebut adalah hari yang terindah. Kononya begitu…

Setiap pasangan akan memberikan hadiah yang dirasakan paling bagus untuk pasangan mereka. Tak kisah la sama ada coklat, harta benda mahupun jambangan bunga.
Menurut sejarah, perkataan Valentine diambil sempena paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Walaupun amalan ini berasal dari Barat tapi masih ramai umat Islam yang turut merayakan meskipun saban tahun pelbagai artikel keluar untuk memberikan penerangan dan penegasan.

Hukum merayakan hari kekasih bagi umat Islam adalah haram kerana terdapat unsur-unsur agama lain. Malah, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke-71 yang bersidang dari 22 hingga 24 November 2005, kesemua anggota panel berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang, namun tidak ada pula hari tertentu yang direka khusus bagi meraikannya secara formal.

Justeru, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan itu juga tidak pernah dianjurkan Islam, bahkan ‘roh’ sambutan hari tersebut ada unsur-unsur ajaran Kristian secara tersirat.
Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” [Riwayat Abu Daud (4031)
Kesan perayaan Hari Kekasih ini menyebabkan ramai yang tergadai maruahnya sehingga membawa kepada mengandung anak luar nikah. Apakah bentuk cinta seperti itu yang perlu ditunjukkan kepada pasangan masing-masing.
Kalau anda sayang pasangan anda, sudah tentu anda berusaha untuk meraikan dengan cara yang baik dan mengikut syarak Islam.


