Kenapa Harimau Ditembak Selepas Membaham?

Pengenalan Harimau Belang

Harimau adalah keluarga kucing tetapi bersaiz besar. Biologi merujuk kumpulan harimau ini sebagai “Big Cat”. Spesies harimau yang wujud di Malaysia adalah seperti harimau bintang, harimau dahan, harimau kumbang dan harimau belang. Fokus cerita penulis hari ini adalah berkaitan harimau belang.

Di seluruh dunia populasi harimau belang adalah yang paling terancam. Hanya terdapat sembilan subspecies harimau belang dan tiga  lagi dah pupus. Harimau yang telah pupus adalah harimau belang bali, harimau belang jawa dan harimau caspia (asia tengah).

Nama saintifik bagi harimau Malaya adalah Panthera tigris jacksonii. Saiz badan harimau Malaya ini tidak sebesar subspecies harimau lain. Sesuai dengan persekitaran asia tenggara yang kecil molek. Panjang badan lebih sikit daripada 2 meter dan berat hanya mencapai kurang 120kg. Sebenarnya, walaupun berat 120kg, tapi pergerakan harimau ini pantas dan tangkas. Katanya boleh pecut sampai 96km/j manakala  manusia pula hanya 9.4km/j.

Faktor Harimau Masuk Kampung

Sekarang ini, viral di sana sini harimau masuk kampung, masuk taman, jumpa ditepi jalan. Dan selepas harimau menyerang mangsa dekat kawasan perumahan, mereka ditangkap atau ditembak mati. Persoalannya, kenapa mereka disitu dan mengapa perlu ditembak selepas menyerang?

Makanan utama harimau ni rusa, kijang, babi hutan dan  beberapa lagi. Manusia tidak terdapat dalam senarai atau jaringan makanan harimau.

Punca kepada harimau dilihat berada di kawasan komuniti manusia disebabkan oleh empat  faktor utama, iaitu: 

  1. Terdapat pencerobohan di kawasan asal harimau seperti pembalakan haram atau pemburuan. Gangguan kepada kawasan habitat menyebabkan mereka terpaksa migrasi ke kawasan yang lain. Ada kalanya sehingga berada di pinggir-pinggir penempatan manusia.
  1. Manusia menggunakan kawasan habitat sebagai tempat tinggal atau jalan raya. Apabila terjadi keadaan seperti ini, luas kawasan merayau harimau akan mengecil. Forest fragmentation juga memberikan impak kepada kawasan pemburuan harimau.
  1. Kekurangan sumber makanan pada habitat hutan yang menyebabkan harimau mencari di kawasan luar. Sasaran untuk mendapatkan sumber makanan yang mudah adalah menyerang kawasan ladang, kebun dan ternakan orang kampung. Tindakan yang dilakukan adalah perkara yang bukan norma keadaan binatang liar tetapi satu bentuk respon semulajadi apabila bekalan makanan terjejas. Namun, selepas binatang liar telah melihat peluang mendapatkan makanan yang mudah di kawasan manusia, maka kesan seterusnya adalah potensi kawasan manusia akan menjadi sasaran binatang liar bagi satu tempoh yang panjang. Proses ini adalah normal dalam alam semulajadi.
  1. Melalui pemerhatian daripada PERHILITAN, antara faktor yang berkemungkinan terjadi adalah apabila harimau ini jatuh sakit. Seumpama mereka sengaja menonjolkan diri adalah untuk mendapatkan bantuan daripada manusia. Namun maklumat dan fakta ini perlu diteliti dan dikaji dengan lebih mendalam.

Terpaksa Ditembak Selepas Membaham Manusia

Persoalannya, apabila harimau menyerang manusia, kenapa PERHILITAN  memilih untuk menembak mati harimau tersebut? 

Jawapannya adalah pada aktitivi memburu harimau pada masa hadapan bagi mendapatkan sumber makanan. Secara alami, manusia bukan pilihan makanan bagi harimau tetapi apabila harimau sudah mendapat sense manusia boleh dijadikan sumber makanan. Maka, harimau tersebut akan mula menjadikan manusia sebahagian pada rantaian makanan. Malah disebabkan jumlah manusia yang ramai, maka kawasan perkampungan manusia dilihat seperti bank makanan bagi spesies harimau ini. 

Kes yang paling teruk juga  adalah apabila sifat liar tersebut diwarisi kepada generasi yang seterusnya atau dilihat oleh spesies binatang liar yang lain seperti harimau kumbang. Oleh itu, perancangan yang terbaik adalah samada mengurung harimau tersebut di NWRC atau menembak mati. Pilihan yang terpaksa dipilih oleh PERHILITAN adalah menembak mati. Hal ini disebabkan oleh harimau yang menyerang manusia yang ditangkap tetap tidak akan dilepaskan. Kos menjaga makan dan minum harimau juga adalah besar dan memberikan tekanan kewangan kepada pusat jagaan tersebut.

Kempen Selamatkan Harimau Malaya

Melalui 1st National Tiger Survey di hampir 75% plot kajian habitat harimau bermula tahun 2016-2018 telah menunjukkan bilangan Harimau Malaya yang direkodkan adalah kurang dari 200 ekor. Oleh itu, Agensi PERHILITAN melancarkan kempen Selamatkan Harimau Malaya dan menubuhkan Malaysia Conservation Alliance for Tigers (MYCAT) dan membuat tabung Harimau Malaya. Kutipan setakat ini, melalui laman web https://harimau.my adalah lebih kurang RM1.5 juta.

KONGSI ARTIKEL INI